JOHOR BAHRU – Keputusan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini tidak akan menggugat kekuatan organisasi parti di Mersing mahupun Endau.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, parti itu mempunyai ramai pelapis terdiri daripada pemimpin lama dan berpengalaman serta muka-muka baharu yang bersemangat untuk meneruskan perjuangan dan menggerakkan parti di semua peringkat.
“Malah kita mempunyai ramai pemimpin pengganti daripada kalangan anak muda dan anggota yang kekal setia bersama-sama perjuangan parti.
“Mereka bersedia memikul amanah dan meneruskan agenda memperjuangkan nasib rakyat serta memperkukuhkan kedudukan parti di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, Bersatu Bahagian Mersing akan terus diperkasa, disusun dan diperkukuhkan dengan semangat kebersamaan seluruh ahli serta kepimpinan parti.
Jelasnya, fokus Bersatu Johor adalah memperkukuhkan organisasi, mendekati rakyat dan memastikan parti terus menjadi wadah perjuangan yang relevan serta diyakini oleh masyarakat.
“Perjuangan tidak terhenti dengan pemergian seseorang. Bersatu Mersing akan terus mara ke hadapan dengan saf kepimpinan yang lebih mantap dan komited demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, setakat ini Bersatu Johor tidak menerima sebarang pemakluman awal mahupun surat rasmi daripada Alwiyah berkenaan hasrat untuk keluar daripada parti.
Beliau memaklumkan, parti hanya mengetahui perkara tersebut melalui laporan media dan sidang akhbar yang diadakan petang tadi.
Bagaimanapun, Bersatu Johor menghormati hak dan keputusan peribadi beliau serta mengambil maklum tindakan yang sudah dibuat.
“Kita memahami bahawa cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh pemimpin serta anggota parti pembangkang pada masa ini adalah amat tinggi.
“Namun perjuangan politik yang berteraskan prinsip, integriti dan kepentingan rakyat memerlukan ketabahan serta kesetiaan yang berterusan,” tambahnya.
Alwiyah yang kini bekas Ketua Parti Bersatu Bahagian Mersing hari ini mengumumkan keluar Bersatu dan kembali menyertai UMNO.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN Endau.
“Keputusan ini turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandang dalam Bersatu dan dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta da. kembali bersama UMNO,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 atas tiket Barisan Nasional (UMNO).
Namun, pada Mei 2018, beliau bersama-sama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang lain keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.
Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket PN dalam pertandingan lima penjuru.
Seterusnya, Alwiyah dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu.- MalaysiaGazette
















