GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan dakwaan bahawa pelaksanaan penggunaan pelekat logo halal pada meja makan yang didakwa mengasingkan pelanggan Islam dan bukan Islam berlaku di mana-mana premis makanan, pasar awam atau kompleks makanan di bawah seliaan dan pengurusannya.
MBPP dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum mengenai isu tular di Facebook berhubung dakwaan penggunaan logo halal pada meja makan di sebuah premis makanan di Jalan Terengganu, di sini.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan di lokasi berkenaan mendapati sebuah gerai burger baharu yang beroperasi di dalam premis kedai makanan swasta telah melekatkan logo halal pada tiga meja yang dikhaskan untuk pelanggan gerai tersebut bagi mengelakkan penggunaan meja berkenaan oleh pelanggan yang menikmati makanan tidak halal.
“MBPP ingin menegaskan dan menafikan sekeras-kerasnya bahawa insiden atau pelaksanaan tersebut berlaku di mana-mana premis makanan, pasar awam atau kompleks makanan di bawah seliaan dan pengurusan MBPP.
“Selain itu, perkara tersebut juga sama sekali tidak pernah terkandung dalam mana-mana dasar atau polisi rasmi majlis,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Pelesenan MBPP telah mengambil tindakan dengan memberi nasihat dan amaran supaya tidak menggunakan logo halal tanpa kelulusan serta tidak melekatkan apa-apa yang boleh menimbulkan isu perkauman.
“Pemilik premis terbabit telah mematuhi arahan yang diberikan dan segera menanggalkan semua pelekat berkenaan.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, kita sentiasa berpaksikan dasar Kerajaan Negeri yang inklusif dengan mengutamakan keharmonian, sensitiviti dan keselesaan seluruh warga kota berbilang kaum dan agama,” tegasnya. – MalaysiaGazette















