Penyandag kerusi DUN Endau, Alwiyah Talib dalam sidang akhbar di Mersing hari ini mengumumkan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai UMNO.

MERSING – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO.

Bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN Endau.

“Keputusan ini turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandang dalam Bersatu dan dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta dan kembali bersama UMNO,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Alwiyah menegaskan, pendiriannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Endau tidak akan berubah meskipun mengambil keputusan meninggalkan Bersatu.

Jelasnya, langkah tersebut dibuat demi memastikan kelangsungan pembangunan kawasan serta memperkukuh aspek penyatuan dalam kalangan masyarakat di DUN berkenaan.

“Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan tersebut sejak 2018.

Beliau berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat Endau terus terbela.

Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pasa 2018 atas tiket Barisan Nasional (UMNO).

Namun pada Mei 2018, beliau bersama-sama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang lain keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan lima penjuru.

Seterusnya, Alwiyah dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast