PUCHONG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dibuat demi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai jalan terbaik dalam menyelesaikan `simpang-siur’ krisis istana di negeri itu.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan memandang berat krisis adat dan perlembagaan yang berlaku di Negeri Sembilan dan telah menyampaikan pandangan kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya ia diselesaikan mengikut undang-undang.
“Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana kena faham Institusi Raja ini mesti ada peraturannya, kaedahnya, cara kemuliaannya dan kalau digugat sebegini rupa ia tidak baik.
“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut jalur undang-undang dan perlembagaan negeri, tetapi hujah itu harus kuat, sama ada menggugurkan atau mekazurkan mana-mana Raja akan memberikan implikasi yang sangat besar kepada negara dan keamanan,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini hari ini.

Katanya, perkembangan semasa di negeri itu dilihat berisiko menjejaskan kedudukan Institusi Raja yang pada pendirian beliau sepatutnya dijaga.
“Sebab itu kita pandang berat, saya juga telah menyampaikan pandangan ini kepada pihak-pihak berkenaan tetapi untuk kita harus ikut jalur mahkamah buat keputusan tadi dan kita juga telah beri nasihat tapi diteruskan pengisytiharan di sebuah hotel yang saya fikir juga menjejaskan imej dan identiti Raja (yang ditabalkan).
“Kita sebagai Kerajaan Persekutuan walaupun tidak terlibat secara langsung, harus memberikan nasihat. Terutama orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem Raja ini bukan hanya namanya tapi kemuliaannya tetapi beberapa kaedah dan peraturannya,” jelasnya.
Hari ini dilaporkan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.
Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Pemasyhuran tersebut sekali gus menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta dengan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam pada itu Anwar berkata, berdasarkan susur galur Tuanku Muhriz sepatutnya masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Sebab itu bagi kita, kita tetap pertahankan kedudukan dan kemuliaan juga kedaulatan Raja. Kalau kita ikut sekarang susur galurnya kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Tuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz dan mohon supaya apa-apa pandangan lain dibuat mengikut jalur sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan rakyat, mempersulit urusan kerajaan negeri.
“Sebab itu saya menyokong penuh kenyataan MB Negeri Sembilan yang menyatakan simpang siur ketidaktentuan ini sebaiknya diadakan pilihan raya. Bagi kita, jalan terus, kita masih bersama dengan Tuanku Mukhriz dan jalur lain kalau dibuat ikut jalannya kita tidak menghalang,” tambahnya.
Sementara itu, Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) menumpukan usaha memperkuatkan pasukan untuk berdepan PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Kita buat sedaya upaya kita walaupun Johor notis singkat. Pada masa itu saya menyeru rakan dalam pimpinan kerajaan untuk tumpu soal ekonomi, masalah rakyat, biar kita tumpu pulihkan balik (ekonomi) kemudian barulah pilihan raya. Tapi oleh kerana Johor mahu segera, jadi terpaksa lalui,” katanya.-MalaysiaGazette
















