Gambar sekeluarga Norliza Awang, mangsa rumah terbakar di Jerantut.

JERANTUT – Lapan sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah didiami mereka sejak tujuh tahun lepas di Taman Bandar Baru Jerantut, di sini dijilat api kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Norliza Awang, 40, memberitahu, kebakaran itu pada mulanya disedari anak kelimanya yang berusia tujuh tahun.

Dia meluahkan rasa syukur kerana kejadian itu disedari awal ketika api baru mula merebak dan mereka semua sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah teres dua tingkat tersebut.

“Kebetulan ketika kejadian, saya dan suami sudah pulang ke rumah selepas keluar sebentar ke klinik. Suami tak sihat sejak sebulan lepas kerana patah jari. Jadi, saya berada di tingkat bawah dan suami pun terlelap di tingkat bawah.

“Tak lama selepas itu, anak saya beritahu bilik tengah di tingkat atas ada api. Dia pun kejut abang-abang dia yang sedang tidur di tingkat atas iaitu anak sulung dan anak ketiga saya untuk tengok api itu,” katanya.

Keadaan rumah teres dua tingkat di bahagian atas yang terbakar

Ketika kejadian, Norliza yang merupakan suri rumah memberitahu bayinya berusia setahun lapan bulan juga sedang tidur bersama anak perempuannya yang berusia 16 tahun di tingkat bawah.

Selepas dimaklumkan kejadian berkenaan, katanya, mereka sekeluarga cuba sedaya upaya memadamkan api yang mula merebak di bilik yang dijadikan stor menyimpan barang itu.

“Cuba guna air dan guna alat pemadam api pun tak padam juga. Jadi, saya arahkan anak-anak untuk keluar rumah selamatkan diri dan menghubungi bomba.

“Bilik itu memang buat simpan barang sahaja. Saya ada jual barangan elektrik kelengkapan dapur secara sambilan dan simpan di bilik stor itu. Habis semua.

“Anak sulung saya sedang belajar Diploma di UCYP dan sepatutnya masuk belajar 8 Jun ini. Dua lagi anak berusia 16 dan 17 tahun belajar di Kolej Vokasional Chenor. Habis peralatan elektronik belajar terbakar juga, tak sempat diselamatkan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Norliza berkata, dia reda meskipun mengalami kerugian puluhan ribu akibat kebakaran itu dan bersyukur kesemua ahli keluarganya terselamat.

Dia memaklumkan, mereka sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang kini berteduh di rumah keluarga suaminya di Seri Embun, di sini sementara merancang mencari rumah sewa lain.

“Tadi dimaklumkan oleh pihak bomba mungkin kebakaran berpunca akibat litar pintas. Ada wayar lama yang mungkin mengalami kerosakan dan mengakibatkan percikan api yang menjadi punca kebakaran.

“Malam tadi pukul 12 tengah malam pun jiran telefon saya ada lagi kebakaran di bilik yang punca kebakaran tu. Jadi, dua kali terbakar. Dugaan betul untuk kami sekeluarga,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast