MELAKA – Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pemandu lelaki lain dalam kemalangan, dua tahun lalu.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, S Nandah Kumar Naidu, 47, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 26 tahun ketika kejadian di Jalan Mahindasa, Bukit Serindit, Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 2.20 petang 23 November 2024.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di dalam sebuah Perodua Axia di tepi jalan berhampiran persimpangan Jalan Mahindasa dirempuh sebuah Proton Iswara dipandu tertuduh.

Mangsa kemudian keluar dari kenderaannya untuk melihat keadaan sebelum tertuduh bertindak memukul kepala mangsa menggunakan tangan.

Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan disahkan mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala serta rusuk kiri akibat dipukul.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak bekerja serta mempunyai empat tanggungan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar lebih berwaspada dan tidak bertindak melanggar undang-undang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000, dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjarakan selama empat bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast