KUANTAN – Seorang peniaga maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta selepas keluar simpang berhampiran Masjid Tengku Panglima Perang, Sungai Karang, di sini petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7 petang.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Proton Savvy, sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC dan sebuah Perodua Bezza.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri dan memasuki laluan kereta Proton Savvy dipandu pemuda berusia 22 tahun dari arah bandar Kuantan menghala ke Balok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta tersebut dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa bersama motosikalnya.
Rempuhan itu katanya, menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh sebuah Perodua Bezza yang dipandu wanita berusia 21 tahun.
“Ekoran kemalangan terbabit, mangsa bernama Rosdi Shamsuddin, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya lagi.
Justeru, Ashari menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















