KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail mempersoalkan keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun malam tadi.
Menurut beliau, kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung proses yang membawa kepada pembubaran DUN tersebut, khususnya berkaitan peranan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dalam keputusan berkenaan.
Syed Rosli yang juga Ketua UMNO Cawangan Pandan Tengah berkata, persoalan itu timbul susulan laporan mengenai proses pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu serta kedudukan institusi diraja negeri berkenaan.
“Dalam keadaan timbul pelbagai persoalan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan proses pelantikan pengganti, rakyat berhak mengetahui sama ada semua prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri telah dipatuhi sepenuhnya sebelum pembubaran DUN dibuat.
“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi membabitkan integriti sistem pemerintahan beraja yang menjadi tunjang kepada Negeri Sembilan,” katanya menerusi laman sosial beliau hari ini.
Beliau berkata, penjelasan jelas perlu diberikan berhubung sama ada keputusan pembubaran itu turut melibatkan proses yang sewajarnya dengan DKU yang mempunyai peranan penting dalam sistem adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.
Katanya, kegagalan menjawab persoalan tersebut secara tuntas hanya akan menimbulkan lebih banyak spekulasi dalam kalangan rakyat.
“Apabila soalan mengenai peranan DKU dibangkitkan, rakyat mahu jawapan yang jelas dan bukan sekadar penjelasan umum bahawa semua prosedur telah dipatuhi.
“Perkara seperti ini perlu dijelaskan secara terbuka kerana ia menyentuh soal keabsahan proses pentadbiran negeri dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu,” ujarnya.
Syed Rosli turut mengaitkan perkembangan itu dengan tindakan beberapa pemimpin UMNO Negeri Sembilan yang sebelum ini menarik sokongan terhadap pentadbiran Aminuddin.
Menurutnya, tindakan tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan kebimbangan terhadap isu yang melibatkan sistem pemerintahan beraja dan pentadbiran negeri.
“Jika benar terdapat perkara yang menyentuh kedudukan institusi beraja Negeri Sembilan, maka ia wajar diberikan perhatian serius oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Kita tidak boleh membiarkan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai memperlekeh atau menjejaskan martabat institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Beliau berkata, rakyat kini menantikan penjelasan rasmi daripada pihak berkaitan bagi merungkai segala persoalan berhubung proses pembubaran DUN Negeri Sembilan yang diumumkan malam tadi. -MalaysiaGazette
















