Mesyuarat CEC DAP malam tadi.

KUALA LUMPUR – DAP akan mempertahankan semua kerusi penyandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, selain bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan rundingan secara muktamad dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) menjelang hujung minggu ini.

Menurut beliau, proses pemilihan calon untuk mewakili DAP dalam PRN tersebut akan ditentukan oleh sebuah Jawatankuasa Pemilihan Calon yang dianggotai lima individu termasuk beliau sendiri.

Katanya, ahli jawatankuasa lain termasuk Gobind Singh Deo (Pengerusi Kebangsaan); Nga Kor Ming (Timbalan Pengerusi Kebangsaan); Teo Nie Ching (Ketua Wanita DAP) dan Chong Chieng Jen (Ketua Parlimen DAP).

Ujarnya, perkara itu antara yang diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang diadakan malam tadi.

Tambahnya, mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan serta PRN kedua-dua negeri itu yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 1 Jun lalu, Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang sepatutnya dijadualkan pada 12 Julai ini akan ditunda ke 16 Ogos depan (Ahad).

Dalam perkembangan lain, menurut Anthony Loke, mesyuarat CEC DAP malam tadi turut menyokong pembentangan RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Persidangan Dewan Rakyat bermula 22 Jun depan.

“DAP menyatakan komitmen untuk memastikan sokongan undi belah bahagi dari kesemua 40 Ahli Parlimen DAP serta menyeru semua Ahli Parlimen untuk memastikan Pindaan Perlembagaan yang bersejarah ini dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, DAP terus komited untuk mendukung agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan akan berkempen secara bersungguh-sungguh dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan demi kemenangan PH di kedua-dua negeri tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast