Kredit: Lembaga Lebuhraya Malaysia

DUNGUN – Seorang wanita cedera parah selepas kereta dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, dekat sini petang tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Nor Hazamullah Abdullah berkata wanita berusia 57 tahun itu mengalami putus kaki kiri apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dinaikinya terbabas.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.41 petang sebelum tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, manakala bahagian kaki yang terputus turut ditemukan di dalam kenderaan berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata nahas berlaku ketika kenderaan yang dinaiki seorang lelaki dan empat wanita itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang.

“Wanita terlibat dan empat lagi mangsa yang turut cedera dalam kemalangan itu dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan,” katanya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast