KUALA LUMPUR – Seramai 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu Ops Sapu di sekitar Jalan Klang Lama, di sini hari ini.
Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam serta maklumat risikan berterusan pihak berkuasa berhubung lambakan warga asing yang menimbulkan kegusaran penduduk setempat.
Menurutnya, kumpulan tahanan tersebut terdiri daripada pendatang warganegara Indonesia, Myanmar dan India.
“Majoriti tangkapan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa di negara ini, serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram,” katanya menerusi kenyataan.
JIM WPKL berkata, ketika serbuan dilaksanakan, sepasukan pegawai penguatkuasa JIM WPKL telah membuat kepungan strategik di sekitar beberapa buah premis perniagaan dan kawasan penempatan yang disasarkan.
“Taktik mengejut itu bertujuan menutup segala laluan tikus bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri oleh pihak yang bersalah.
“Pemeriksaan dokumen secara terperinci serta semakan biometrik telah dilakukan ke atas setiap Orang Kena Periksa (OKA) terus di lokasi kejadian,” jelasnya.
Ujarnya, ketika operasi pasukan penguat kuasa berdepan beberapa insiden di mana warga asing cuba bersembunyi di ruangan sempit untuk meloloskan diri.
Bagaimanapun, katantya, kecekapan anggota imigresen berjaya mematahkan usaha tersebut dengan pantas.
Menurut JIM WPKL, semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.-MalaysiaGazette
















