Gambar terkini Jaslinda

TAPAH – Misteri kehilangan Jaslinda Saludin, 49, ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini sejak 15 hari lalu terjawab apabila ditemukan selamat petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa telah ditemukan berhampiran di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Batu 8, Jalan Pahang di sini kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, mangsa telah ditemukan oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Nazri Bah Eng.

“Nazri kemudian memaklumkan kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

“Mangsa sekarang berada di rumah Tok Batin di Kampung Lubuk Gaharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tular video Jaslina sedang berehat dan memakan mi segera hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jaslinda telah menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain bersama dua malim gunung pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu dengan melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, kemudian dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, pendaki wanita itu dikatakan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast