Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

TASEK GELUGOR – Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak yang sedang menyauk ikan bertukar cemas apabila mereka menemukan mayat seorang lelaki di dalam parit di Jalan Merbau Kudung di sini, hari ini.

Penemuan mayat mangsa, Adanan Hassim, 64, itu kemudian dimaklumkan kepada penduduk kampung sebelum laporan dibuat kepada polis kira-kira jam 10 pagi.

Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata, dia menerima berita mengenai kejadian itu daripada penduduk kampung sebelum bergegas ke lokasi kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, mayat bapa saudaranya itu ditemukan kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Nyior Sebatang di sini.

Katanya, mangsa yang melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung perbelanjaan harian tinggal bersendirian di rumah miliknya selepas bercerai lebih belasan tahun lalu dan mempunyai lima orang anak yang tinggal bersama bekas isterinya.

“Ikutkan, laluan ini memang jalan yang selalu pak cik saya guna untuk membeli makanan kerana terdapat kedai berhampiran kawasan ini.

“Saya tidak sangka dikejutkan dengan berita penemuan mayatnya kerana sepanjang pengetahuan saya, dia seorang yang suka menyendiri dan tidak pernah mempunyai masalah dengan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Mohd, dia dimaklumkan mangsa mengalami patah kaki kiri dan mungkin dilanggar sebelum terperosok ke dalam parit.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu siasatan penuh pihak polis,” katanya.

Terdahulu, polis mendapatkan bantuan pihak bomba bagi mengangkat mayat mangsa sebelum pasukan forensik dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa mungkin sudah meninggal dunia dua hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hopsital Batas untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kecederaan pada kaki kiri serta punca kematiannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast