KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Reformasi Perumahan MADANI sebagai langkah menyeluruh bagi membanteras isu projek perumahan sakit dan terbengkalai, sekali gus merealisasikan sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh sektor perumahan negara serta melindungi kepentingan pembeli rumah.
Menurut beliau, sejak tahun 2023, sebanyak 1,576 projek perumahan melibatkan lebih 188,525 unit kediaman dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM148.21 bilion telah berjaya dipulihkan.
“Namun usaha kita tidak terhenti di sini. Sebagai langkah ke hadapan, KPKT telah melancarkan Reformasi Perumahan MADANI bagi membanteras isu projek sakit dan terbengkalai secara lebih menyeluruh,” katanya dalam Majlis Pecah Tanah KL360 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah mewajibkan audit terhadap Akaun Pemajuan Perumahan (Housing Development Account – HDA) bagi meningkatkan ketelusan serta memastikan dana projek diurus secara berhemah dan berintegriti.
Selain itu, KPKT turut memperkukuh pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (Housing Integrated Management System – HIMS) sebagai mekanisme pemantauan yang lebih proaktif dan berkesan.
Katanya, melalui sistem tersebut, tanda-tanda kelewatan projek dapat dikesan lebih awal sekali gus membolehkan tindakan intervensi dilakukan sebelum sesuatu projek memasuki tahap kritikal.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai khususnya bakal pembeli rumah supaya menyemak status pemaju dan projek perumahan menerusi Portal TEDUH sebelum menandatangani sebarang perjanjian jual beli.
“Matlamat kita jelas, supaya setiap sen yang dibayar oleh pembeli rumah hanya digunakan untuk pembangunan projek yang dijanjikan dan setiap rumah yang dibeli dapat disiapkan serta diserahkan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata, reformasi itu dijangka mampu memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap industri perumahan negara di samping memastikan pembangunan perumahan yang lebih mampan dan bertanggungjawab pada masa hadapan. – Malaysia Gazette
















