Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mahu rakyat faham punca pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan dan Johor diadakan kali ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, di negerinya terdapat pihak yang tidak sabar dan melakukan pengkhianatan dengan menarik sokongan terhadap kerajaan Perpaduan peringkat negeri.

Walaupun Aminuddin tidak menamakan pihak yang didakwa namun difahamkan ia ditujukan kepada pimpinan UMNO/Barisan Nasional Negeri Sembilan.

“Malangnya, sahabat kita ketika itu, mereka tidak sabar. Mereka mengkhianati kita dan mereka tebuk kapal yang kita dalam keadaan yang sedang berlayar dengan baik. Inilah bukti kepada kita semua.

“Rakyat Johor harus ingat dan insaf bahawa apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini tidak harus berulang di mana-mana.

“Kita tak nak dalam keadaan kita menghormati, saling hormat-menghormati, saling beri-memberi, memastikan kelancaran kerajaan negeri berjalan dengan baik, tiba-tiba okey mereka tebuk kapal yang kita sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre di sini malam ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi Majlis Pimpinan (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Aminuddin berkata, apa yang berlaku itu sepatutnya menjadi renungan dan pengajaran kepada rakyat terutama pengundi supaya tidak tersalah pilih.

Menurutnya, apa yang penting dalam hidup adalah keikhlasan dan kejujuran perjuangan serta paling penting adalah janji yang harus sentiasa disepakati.

“Inilah yang harus berlaku dan inilah yang berlaku di Johor hari ini yang masih ada masa lagi untuk pilihan raya tak lama lagi tetapi terpaksa diadakan lebih awal.

“Kami di Negeri Sembilan terpaksa mengadakan pilihan raya kerana apa? Kerana kita hari ini sekejap mereka sokong, sekejap mereka tarik. Sekejap mereka kata bersama, sekejap mereka tak nak ikut serta saya.

“Apa salah saya, saya pun tak tahu. Mereka kata…mereka tak bincang pun tapi akhirnya mereka tarik sokongan, lepas tu tiba-tiba memberikan sokongan semula.

Yang akhirnya, kita rasa bahawa perlu kita serahkan mandat ini kepada rakyat semua,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast