KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum secara serius mengenai isu kekurangan Pegawai Perubatan yang dihadapi di Hospital Lahad Datu pada masa kini.
JKNS memaklumkan, bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit di daerah tersebut terus terpelihara, beberapa langkah proaktif merangkumi beberapa strategi yang telah dan akan segera dilaksanakan.
Menurutnya, strategi itu menumpukan kepada pelaksanaan mobilisasi Pegawai Perubatan melalui pendekatan kluster yang melibatkan bantuan hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau.
Katanya, tindakan pantas itu adalah mustahak bagi menjamin kelangsungan operasi klinikal dan perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu agar tidak terjejas.
“Kapasiti perkhidmatan akan diperkukuh melalui penempatan tiga Pegawai Perubatan tetap dan dua secara sementara.
“Kesemua pegawai dijadualkan memulakan tugas secara rasmi bermula Julai 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, JKNS akan memberi keutamaan agihan Pegawai Perubatan kontrak kepada fasiliti yang mengalami kekurangan kritikal pada pengambilan terdekat serta memperkasakan kawalan perpindahan keluar bagi menjamin kestabilan tenaga kerja dan kelangsungan perkhidmatan kepakaran.
Katanya, JKNS sentiasa meletakkan kebajikan pesakit dan kelancaran operasi hospital di seluruh Sabah sebagai keutamaan tertinggi, sekaligus memastikan mutu penjagaan kesihatan yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat Sabah. – MalaysiaGazette
















