KUALA LUMPUR – Pentadbir Facebook Najib Razak menyifatkan dakwaan kononnya `undi UMNO-BN di Johor dapat DAP-PH’ sebagai tidak masuk akal.
Menurutnya, naratif itu ketika ini paling kuat dimainkan oleh para propagandis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sehubungan itu, laman tersebut membuat perbandingan dengan apa yang berlaku di Johor pada 2019.
Menurutnya, ketika itu, Menteri Besar Johor adalah daripada Bersatu manakala Exco kerajaan negeri majoritinya DAP-PH.
“Jadi kalau mahu guna logik yang sama, patutkah rakyat Johor simpulkan bahawa “undi BERSATU dapat DAP-PH”?
“Atau lebih tepat lagi, “undi PN dapat DAP-PH”?
“Sebab itu propaganda “undi UMNO-BN di Johor dapat DAP-PH” sebenarnya tidak masuk akal,” katanya.
Sebaliknya, tegas laman itu, UMNO-BN Johor sebelum pembubaran DUN baru-baru ini adalah `asal dan ori’.
Katanya, sejak BN menang besar dalam PRN Johor 2022, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah membenarkan DAP-PH masuk ke dalam kerajaan negeri walaupun berkali-kali dipujuk dan ditekan oleh Kerajaan Madani.
“Kalau sejak 2022 pun BN Johor tetap tidak setuju, kenapa pula tiba-tiba BN Johor akan setuju selepas PRN akan datang sekiranya rakyat memberi mandat baharu kepada BN?
“Jadi jangan mudah termakan propaganda murahan bahawa undi BN Johor bermaksud DAP-PH akan masuk kerajaan negeri,” katanya.
Hakikatnya, katanya, BN Johor sudah membuktikan pendirian mereka melalui tindakan, bukan sekadar slogan.
“Beri sokongan padu kepada Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan BN Johor untuk teruskan prestasi baik, kestabilan politik dan kemajuan Johor.
“Johor perlukan kerajaan yang jelas pendiriannya, bukan parti yang dulu bersama DAP-PH tetapi sekarang tiba-tiba paling anti DAP-PH,” katanya. – MalaysiaGazette
















