EGM Badan peguam
Badan Peguam Malaysia. foto SYAFIQ AMBAK, 14 MAC 2020 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menegaskan, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP) perlu telus, berakauntabiliti dan dilindungi, bukan sekadar `cakap-cakap’ atau berlandaskan kompromi politik.

Presidennya, Anand Raj berkata, oleh kerana kuasa besar diberikan kepada PP, badan itu berpandangan bahawa pelantikannya harus dibuat menurut nasihat perlembagaan.

Jelas beliau, PP menjalankan kuasa besar yang memberi kesan kepada kebebasan individu, pentadbiran keadilan dan keyakinan awam terhadap institusi undang-undang.

Rang Undang-Undang berkaitan pengasingan AG-PP dijadual dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.

Sehubungan itu katanya, proses bagi mengenal pasti, menilai dan melantik pemegang jawatan, mesti diberi perlindungan yang ketat.

Tegas beliau, Badan Peguam telah lama mencadangkan pengasingan pejabat AG dan PP sebagai pembaharuan institusi yang penting untuk mengukuhkan kebebasan pendakwaan.

Ujarnya, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 tersebut mewakili satu peristiwa penting dalam perjalanan pembaharuan yang sudah lama tertangguh.

Namun demikian, katanya, Badan Peguam bimbang bahawa pindaan yang dicadangkan mungkin tidak mencapai aspirasi sebenar untuk mengukuhkan kebebasan pendakwaan.

“Fungsi PP tidak boleh dipolitikkan. Pelantikan PP harus dibuat menurut nasihat perlembagaan (dalam pengertian Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan).

“Ia selaras dengan rangka kerja perlembagaan yang mengawal pelantikan pemegang jawatan utama lain yang berkaitan dengan pentadbiran keadilan, termasuk anggota badan kehakiman dan Peguam Negara,” ujarnya menerusi kenyataan dalam laman Facebook.

Perkara 40(1A) menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) wajib bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam urusan pentadbiran.

Rang Undang-undang itu mula-mula dibentangkan di Parlimen pada 23 Februari lalu, dibahaskan semula pada 3 Mac dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk pertimbangan selanjutnya dan penglibatan pihak berkepentingan.

Anand selanjutnya menyatakan, Ahli Parlimen mesti diberi masa yang mencukupi untuk menyemak, menganalisis dan membahaskan RUU secara komprehensif sebelum dipanggil untuk mengundi.

Ujar beliau, Badan Peguam telah terlibat secara konstruktif dan memberikan maklum balas yang komprehensif mengenai cadangan pembaharuan, meneliti bentuk akhir RUU dan mana-mana perundangan yang disertakan sebaik sahaja ia tersedia kepada umum.

Badan Peguam seterusnya berpandangan, pemisahan pejabat AG dan PP tidak dapat direalisasikan sepenuhnya melalui pindaan perlembagaan semata-mata, sebaliknya berlandaskan undang-undang seperti Akta Pejabat Pendakwa Raya (OPPA).

Jelas beliau, akta itu perlu bagi mengoperasikan pejabat baharu, mentakrifkan kuasa dan tanggungjawabnya, mewujudkan perlantikan yang jelas dan mekanisme kebertanggungjawaban yang sewajarnya.

Katanya, akta itu turut mentafsir kelayakan jawatan, kod kelakuan dan standard etika, kewajipan pelaporan, peruntukan yang mengehadkan kuasa budi bicara PP untuk menghentikan prosiding jenayah, dan perlindungan institusi untuk mengekalkan kebebasan pendakwaan.

Ujar Anand, Badan Peguam turut bimbang bahawa sebarang pembaharuan yang dilakukan secara tergesa-gesa, tanpa mengandungi perlindungan yang betul dan mencukupi, berisiko menghasilkan keputusan yang lebih buruk daripada status quo.

Sehubungan itu, Badan Peguam menyeru penggubal undang-undang menjalankan fungsi Parlimen dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan bahawa pelaksanaan pembaharuan ini menghasilkan kualiti perundangan yang tertinggi, dan bukan hanya berakhir sebagai satu lagi kompromi politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast