Foto: FB Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membidas Datuk Onn Hafiz Ghazi susulan kenyataan Menteri Besar Johor berkenaan yang menegaskan rela kehilangan jawatan berbanding duduk semeja dengan DAP.

Sedangkan, menurut Anthony Loke, Presiden BN sendiri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setiap minggu duduk bersebelahan dengan beliau dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP……Hebat! Teruskan keangkuhan kamu.

“Tapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan Setiausaha Agung DAP ya…harap maklum…terima kasih!” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Malah, katanya, BN Johor juga tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian tersebut adalah sebahagian daripada ketetapan politik bagi gabungan berkenaan di peringkat negeri.

“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama-sama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” kata Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Educity di sini, hari ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast