ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian tersebut adalah sebahagian daripada ketetapan politik bagi gabungan berkenaan di peringkat negeri.
“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama-sama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.
“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Educity di sini, hari ini.
Majlis perasmian jentera itu disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin-pemimpin BN petang ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Menurutnya, pelbagai dakwaan dan persepsi politik dalam media sosial perlu ditangani dengan fakta, termasuk fitnah yang mengaitkan kononnya ‘BN dan DAP akan bekerjasama’ serta naratif bahawa kerajaan negeri tidak stabil.
“Rakyat Johor sudah matang. Mereka tahu menilai antara fitnah dan fakta,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor. – MalaysiaGazette
















