Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar hadir ke Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan bersubahat berkaitan urusniaga pelaburan tanpa lesen. Foto SADIQ SANI, 23 FEBRUARI 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Jumaat ini bagi sebutan kes bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.

Turut ditetapkan untuk sebutan, kes ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang didakwa menjalankan urusniaga sekuriti walhal syarikatnya tidak mempunyai lesen.

Menerusi semakan laman sesawang kehakiman, prosiding kedua-dua kes dijadual di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mohd. Daud, 62, yang juga tokoh kewangan Islam terkenal didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu dengan bertindak sebagai wakil kepada Energy Eco Berhad di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 di C6-1, Jalan Reef 1/2, Pusat Perniagaan Reef, Rawang dekat sini.

Menurut pertuduhan, Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT menjalankan urusniaga dalam aktiviti terkawal melibatkan sekuriti walhal AUF MBZ bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan bukan syarikat berdaftar bagi melakukan aktiviti itu.

Mohd. Daud didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama perenggan 370(c) dan subseksyen 367(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman hadir ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes pelaburan, Foto SADIQ SANI, 23 FEBRUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

Sementara itu, Mahadi, 43, yang juga suami kepada pelakon Heliza Helmi, selaku wakil AUF MBZ, didakwa menjalankan urusniaga sekuriti walhal syarikat itu tidak mempunyai lesen melakukannya di antara 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 di No. 70, Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya dekat sini.

Di hadapan Hakim Azrul Darus, Mahadi turut didakwa atas satu pertuduhan berasingan melakukan kesalahan serupa di tempat sama pada 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023.

Ahli perniagaan itu didakwa subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Di hadapan Azrul juga, seorang ahli perniagaan, Muhamad Iqbal Mohamad, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan AUF MBZ melakukan kesalahan sama di antara 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 di B-2-1, Tingkat 1, Putra Walk, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan di sini.

Menurut pertuduhan, Muhamad Iqbal selaku pengarah QEW Group Berhad bersubahat dengan AUF MBZ melakukan urusniaga dalam sekuriti tanpa lesen mengikut seksyen sama.

Pada prosiding lalu, pendakwaan oleh Suruhanjaya Sekuriti dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shoba Venu Gobal dan Pegawai-Pegawai Pendakwa iaitu Mageswary Karroppiah, Danial Imran Nasaruddin dan Quek Yiing Huey.

Mohd. Daud diwakili peguam-peguam Haziq Razali dan Datuk Hamidi Mohd. Noh, Mahadi oleh Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus manakala Muhamad Iqbal oleh Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd. Akhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast