GEORGE TOWN – Sebuah kereta mewah jenis Porsche terbabas sebelum merempuh lobi sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini, selepas pemandunya dipercayai tersilap menekan pedal minyak, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan cedera dan insiden berkenaan tidak melibatkan kehilangan nyawa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.05 tengah hari daripada wanita berusia 61 tahun yang memandu kenderaan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika wanita itu mahu pulang selepas melawat ahli keluarganya.
“Dia telah tersilap menekan pedal minyak kereta lalu menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar masuk ke dalam lobi hotel tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette















