Ahli Parlimen Klang, V, Ganabatirau

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau mempersoalkan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak DAP daripada pentadbiran kerajaan negeri sedangkan UMNO terus bekerjasama dengan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui prinsip sebenar yang sedang dipertahankan apabila DAP dianggap tidak sesuai berada dalam kerajaan negeri Johor, namun diterima sebagai rakan dalam kerajaan Persekutuan.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Ganabatirau berkata, kenyataan DAP tidak pernah dan tidak akan berada dalam kerajaan negeri Johor menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian politik UMNO.

“Jika ini soal prinsip, adakah prinsip UMNO berbeza antara Johor dan Persekutuan? Di Johor, DAP dikatakan tidak pernah dan tidak akan berada dalam kerajaan negeri atas alasan prinsip.

“Namun di peringkat Persekutuan, UMNO sendiri menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama DAP,” katanya.

Menurut beliau, beberapa pemimpin UMNO Johor sendiri memegang jawatan menteri dan timbalan menteri hasil kerjasama politik yang sama di Putrajaya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rakyat  mempersoalkan prinsip yang sebenarnya sedang dipertahankan oleh parti berkenaan.

“Jadi rakyat berhak bertanya, prinsip yang mana satu sedang dipertahankan? Prinsip di Johor atau prinsip di Putrajaya?

“Jika kerjasama dengan DAP di peringkat Persekutuan dianggap demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat, mengapa naratif yang berbeza digunakan di Johor?” soalnya.

Ganabatirau berkata, politik yang matang memerlukan konsistensi serta kejujuran kepada rakyat dan bukannya pendirian yang berubah mengikut keadaan atau lokasi.

Menurutnya, rakyat tidak boleh disajikan dengan dua prinsip berbeza bagi situasi yang sama semata-mata kerana pertimbangan politik.

“Politik yang matang memerlukan konsistensi. Rakyat tidak boleh disajikan dengan dua prinsip yang berbeza untuk situasi yang sama,” katanya.

Kenyataan Ganabatirau itu dipercayai merujuk kepada pendirian Onn Hafiz yang sebelum ini menegaskan DAP tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor meskipun parti itu merupakan komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Isu hubungan antara UMNO dan DAP kembali menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat apabila beberapa kenyataan melibatkan kerjasama kedua-dua parti terus menjadi bahan perdebatan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast