PEKAN – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan kaedah pengundian yang sesuai sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau Negeri Sembilan berlangsung serentak dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Ketua pengarahnya, Datuk Marzuki Mokhtar berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa kaedah termasuk pengundian awal atau undi pos bagi memastikan pelatih yang terlibat tetap dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurutnya, siri ketiga PLKN 3.0 dijadual berlangsung dari 11 Julai hingga 24 Ogos depan, manakala SPR dijangka bermesyuarat pada 12 Jun ini bagi menetapkan tarikh penting PRN Johor ke-16.
“Kita mungkin menggunakan kaedah pengundian seperti yang diamalkan anggota tentera kerana pelatih berada di kem sepanjang latihan. Kita akan buat mengikut prosedur operasi standard (SOP) SPR.
“Ia boleh dilaksanakan sama ada melalui undi pos atau pengundian awal, namun semuanya tertakluk kepada kelulusan SPR,” katanya kepada pemberita di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan JLKN sekiranya PRN Johor atau Negeri Sembilan diadakan ketika tempoh latihan selama 45 hari itu berlangsung bulan depan.
Terdahulu, beliau menyaksikan perbarisan tamat latihan membabitkan 531 pelatih lelaki yang memulakan latihan di fasiliti ini pada 25 April lalu.
Tambah Marzuki, sekiranya SPR menetapkan pelatih perlu hadir secara fizikal untuk mengundi, pihaknya akan menyusun keperluan dan urusan berkaitan bagi membolehkan proses itu berjalan lancar.
Untuk rekod, had umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun 2019.
Dalam pada itu, Marzuki memberitahu, JLKN mensasarkan penyertaan keseluruhan 10,520 pelatih bagi siri PLKN 4.0 pada tahun hadapan.
Katanya, jumlah itu merupakan lebih dua kali ganda berbanding jumlah sasaran bagi pelatih yang menyertai empat siri latihan tahun ini iaitu 4,200 pelatih.
“Tahun hadapan dijangka beberapa kem akan mula beroperasi iaitu di Bukit Keteri, Perlis; Bukit Pinang, Kedah; Kuala Krai, Kelantan dan Gemas di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















