Lapan individu termasuk wanita didakwa menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Tindakan menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan akhirnya membawa padah apabila tujuh daripada lapan individu didenda RM250 sehingga RM7,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Semua tertuduh terbabit didakwa atas pertuduhan berkait keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM343,830.

Tujuh daripada tertuduh, Wong Mei Fong, 43, Nurul Ainur A Ramlee, 40, Siti Alifah Hisamuddin, 31, Nor Hasnita Che Hussin, 48 dan K Sugumari, 47, Mohd Adib Daud, 37 dan Jason Lau Wei Jian, 24 mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan dihadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan.

Mereka dijatuhi hukuman denda tersebut dan boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Bagaimanapun kesemua tertuduh membayar denda.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kota Tinggi antara 1 April hingga 19 Mei lalu mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara seorang lagi tertuduh, Muhammad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terlibat dalam transaksi kemasukan wang RM100,000 menggunakan akaun syarikat tanpa tujuan yang sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 19 Mei lalu di Kota Tinggi dan dituduh di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau maksimum RM150,000 atau keduanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Nizar diikat jamin sebanyak RM2,000 selain menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast