KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas serentak pada 12 Jun ini bagi membincangkan urusan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun.
“Mesyuarat Khas tersebut akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DN NegerivSembilan Ke-16 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Pembubaran DUN Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu membuka laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri bagi memilih kerajaan baharu untuk penggal ke-16.
Perhatian kini tertumpu kepada mesyuarat tersebut memandangkan ia bakal menentukan jadual rasmi proses pilihan raya yang akan melibatkan jutaan pengundi di Negeri Sembilan.
Pada masa sama, keputusan mesyuarat berkenaan turut dijangka menjadi petunjuk awal kepada tahap kesiapsiagaan parti-parti politik yang bakal bertanding dalam PRN kali ini.
Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas SPR selesai bagi mengumumkan keputusan dan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Negeri Sembilan serta PRU Dewan Negeri Johor Ke-16. – MalaysiaGazette
















