Tangkap layar menunjukkan pacuan empat roda berkenaan memandu secara mengundur di Jalan Seberang Jaya.

SEBERANG JAYA – Lelaki yang tular selepas dipercayai memandu secara melulu menggunakan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren di sekitar Seberang Jaya, hari ini memiliki 17 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira jam 10.05 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan berkenaan.

“Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Lebuhraya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) berhadapan stesen minyak Caltex Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi.

“Pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur putih disyaki ketamin seberat 2.38 gram.

“Hasil saringan urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morphine,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala siasatan berkaitan kemalangan jalan raya dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Mengulas lanjut Nik Aminuddin berkata, pihaknya kini dalam proses mengesan semua mangsa serta saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor K. Vignesh di talian 011-14572390 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Mitsubishi oren ‘mengganas’ di Jalan Seberang Jaya

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan tindakan pemandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi berwarna oren memandu secara melulu di Jalan Seberang Jaya di sini, mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas beberapa rakaman kejadian itu tular di media sosial hari ini.

Menerusi video yang dikongsikan, kenderaan terbabit dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan dan beberapa kali mengundur di atas jalan raya sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast