KUALA LUMPUR – Apa yang bermula sebagai usaha untuk keluar daripada zon selesa akhirnya menjadi pengalaman yang mengubah kehidupan Jennifer Kumar, 21, selepas menamatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026.

Pelatih kelahiran Selangor itu berkata, keputusannya menyertai PLKN secara sukarela ketika masih menuntut di kolej pada mulanya mengundang persoalan daripada orang sekeliling, namun dia nekad menyahut cabaran demi menguji kemampuan diri.
Menurut Jennifer, tempoh 45 hari di kem bukan sesuatu yang mudah apabila dia pernah berdepan saat-saat sukar sehingga terlintas untuk berputus asa.

“Pernah ada ketika saya rasa tidak mampu meneruskan latihan dan mahu menyerah. Saya juga pengsan buat kali pertama dalam hidup ketika menjalani latihan.
“Tetapi pengalaman itu mengajar saya supaya lebih kuat dan tidak mudah mengalah apabila berdepan cabaran,” katanya.
Katanya, selain membentuk ketahanan fizikal dan mental, PLKN turut membuka ruang untuknya mengenali rakan-rakan daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang sebelum ini jarang dilaluinya.
“Di sini kami tinggal, berlatih dan melalui pelbagai cabaran bersama. Pengalaman itu membuatkan kami lebih memahami antara satu sama lain dan menghargai kepelbagaian yang ada,” katanya.
Bagi bapanya, Kumar Somasundaram, perubahan yang ditunjukkan Jennifer selepas menyertai PLKN cukup ketara.
Katanya, walaupun pada awalnya bimbang kerana anaknya tidak pernah berjauhan daripada keluarga, beliau kini bangga melihat Jennifer menjadi seorang yang lebih berani, berdisiplin dan matang.

“Pada awalnya dia sering menghubungi kami dan mengadu penat tetapi lama-kelamaan kami nampak perubahan yang sangat positif pada dirinya,” katanya.
Kisah Jennifer antara pengalaman yang dikongsikan sempena Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2/2026 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, pada Isnin.
Seramai 1,369 pelatih menamatkan latihan selama 45 hari di tiga kem iaitu Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang, Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Malbatt Village di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Turut mencuri perhatian ialah Eunice Chow Chui Hua, 18, yang dinobatkan sebagai Wira Muda Ulung Kem 515 Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, PLKN mengukuhkan lagi impiannya untuk bergelar juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selain membantu meningkatkan disiplin serta daya tahan diri.

“Program ini banyak mempersiapkan saya dari segi mental dan fizikal untuk mengejar cita-cita yang saya impikan,” katanya.
Sementara itu, Nur Aleeya Batrisya Mohamad Apis, 18, mengakui PLKN berjaya mengubah dirinya daripada seorang remaja yang pemalu kepada individu yang lebih yakin dan berani memimpin.
Wira Muda Kanan Kompeni Alpha itu berkata, setiap cabaran yang ditempuhi sepanjang latihan menjadi medan untuk mengenali kekuatan diri yang selama ini tidak disedarinya.

“PLKN mengajar saya bahawa had sebenar bukan pada kemampuan fizikal, tetapi pada keberanian untuk mencabar diri sendiri.
“Jangan takut menyertai PLKN kerana pengalaman ini mampu menjadikan seseorang lebih kuat, lebih yakin dan lebih bersedia menghadapi kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette
















