KUANTAN – Polis mengeluarkan sebanyak 102 notis saman trafik atas pelbagai kesalahan menerusi Op Bersepadu Luaran yang dijalankan semalam di sekitar bandar Kuantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, ia hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 140 buah motosikal ketika operasi yang bermula 4 petang sehingga 11 malam.
Beliau berkata, operasi dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pelbagai kesalahan lalu lintas dilakukan oleh pengguna jalan raya yang berumur lingkungan 16 tahun hingga 30 tahun.
“Antara kesalahan utama yang dikesan adalah menunggang tanpa lesen memandu yang sah, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan gagal memasang cermin sisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, kesalahan lain dikesan termasuk ubah suai ekzos dan struktur motosikal tanpa kebenaran, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insuran sertagagal memastikan sistem brek dalam keadaan baik dan selamat.
Selain itu sebanyak 24 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut.
“Dalam operasi sama juga, pihak JPJ Pahang mengeluarkan 220 saman san menyita sebuah motosikal atas pelbagai kesalahan yang dikesan.
“Polis pandang serius trend ubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi asal sera penggunaan kenderaan yang tidak memenuhi aspek keselamatan,” katanya lagi.
Ashari dalam masa sama turut mengingatkan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang jalan raya.
Tegasnya lagi, polis Kuantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya berada pada tahap terbaik. – MalaysiaGazette















