KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi memberitahu, beliau mengambil maklum mengenai masalah ketiadaan bekalan elektrik di Klinik Kesihatan Balok, Kuantan, Pahang.
Jelasnya, bekalan eletrik terputus berpunca daripada kerosakan ELCB pada kotak pengagihan elektrik (DB Box) dan beliau dimaklumkan kerja-kerja penggantian komponen telah dijalankan.
Tambahnya, bagi memastikan kejadian ini tidak berulang, beliau telah berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) agar satu penilaian menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti keperluan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di Klinik Kesihatan Balok.

Ini bagi memastikan fasiliti kesihatan tersebut berada dalam keadaan yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan masyarakat untuk jangka masa panjang.
“Saya mengambil maklum mengenai masalah ketiadaan bekalan elektrik yang berlaku di Klinik Kesihatan Balok, Kuantan, yang telah menimbulkan kesulitan kepada petugas kesihatan, pesakit serta penduduk setempat yang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti tersebut.
“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Balok yang terus komited menjalankan amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan penduduk sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Ahmad Farhan, beliau akan terus mengikuti perkembangan perkara itu dan memastikan setiap tindakan sewajarnya dapat diselaraskan bersama pihak berkaitan demi kepentingan rakyat dan komuniti setempat. -MalaysiaGazette
















