KUALA LUMPUR – Demi menuntut pembelaan dan memperjuangkan kebajikan tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi, dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun satu larian solidariti sejauh 265 kilometer bakal dianjurkan.
Misi larian solo dari Taiping, Perak ke Kuala Lumpur itu akan digerakkan oleh Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama DAK, Neow Choo Seong bermula 17 Jun ini.
Larian itu dijangka tiba di Bangunan Parlimen pada 22 Jun depan sebagai simbolik sokongan padu terhadap usaha membawa pulang serta memastikan kebajikan ketiga-tiga mamalia berkenaan terus terbela.
Menurut Choo Seong, inisiatif tersebut merupakan platform penting bagi memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai nasib yang menimpa Dara, Amoi dan Kelat.
“Saya amat menghargai sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap usaha Sekretariat Solidariti Bersama DAK dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu ini.
“Suara anda, harapan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Larian itu dilakukan selepas satu himpunan yang diadakan di pekarangan Zoo Taiping pada 9 Mei lalu.
Menerusi himpunan itu, Sekretariat Solidariti bersama DAK memberi tempoh tujuh hari kepada kerajaan untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjalankan audit bebas terhadap tahap kesihatan, kebajikan dan persekitaran DAK di Jepun.

Susulan itu Choo Seong berkata, peningkatan kesedaran yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia mencetuskan ilham untuknya bertindak lebih aktif bagi memastikan suara pencinta hidupan liar didengari.
“Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati tanpa sebarang tindakan konkrit tatkala isu DAK kini rancak meraih perhatian masyarakat.
“Atas dasar tanggungjawab itu, saya memilih untuk membawa mesej solidariti berkenaan secara terus ke pintu Parlimen menerusi larian solo yang mencabar fizikal dan mental.
“Saya berharap agar lebih banyak pihak akan tampil bersama-sama menyokong usaha murni demi masa depan Dara, Amoi dan Kelat,” katanya lagi.
Sebelum ini, DAK dihantar ke Jepun pada Mac 2026 yang merupakan sebahagian daripada program kerjasama konservasi antarabangsa antara Zoo Taiping & Night Safari dengan pihak zoo di Jepun.
Ia merupakan program pertukaran dan kerjasama konservasi antara Malaysia dan Jepun yang telah dirancang di bawah perjanjian sejak tahun 2022.
Menerusi perjanjian itu, ketiga-tiga tersebut tersebut dijangka kekal di Jepun untuk tempoh 25 tahun.
Namun menerusi rakaman video orang awam yang memperlihatkan keadaan terkini DAK tidak memuaskan apabila habitat haiwan itu tidak dibuat seperti habitat asal dan keadaannya seperti tidak selesa apabila berada di negara empat musim. – MalaysiaGazette
















