SEREMBAN – Keputusan UMNO Negeri Sembilan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan kerana mahu menunjukkan keangkuhan politik.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, keputusan itu dibuat selepas Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke mengumumkan hasrat bertanding di semua 36 kerusi DUN.
“Keputusan untuk bersedia bertanding di semua kerusi bukan tindakan mendabik dada.
“Sebaliknya, keputusan tersebut dibuat selepas Pengerusi DAP Negeri Sembilan sendiri mengumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan bahawa PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mustapha, UMNO perlu bersedia menawarkan alternatif kepada rakyat dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri tersebut.
“Sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO juga bersedia menawarkan pilihan kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut berlaku,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mustapha turut menegaskan UMNO tidak akan tunduk kepada usaha pihak tertentu yang cuba menjadikan parti itu sebagai kambing hitam bagi setiap kegagalan politik.
“Sampai bila pihak tertentu mahu terus membaling batu, kemudian menyembunyikan tangan? Cukuplah menjadikan UMNO sebagai kambing hitam bagi setiap kegagalan orang lain,” katanya lagi.
PRN Negeri Sembilan dijangka menyaksikan persaingan sengit susulan pembubaran DUN yang berkuat kuasa pada 5 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















