Pencinta kucing yang berhasrat memelihara haiwan itu kini berpeluang menjadi keluarga 'si bulus' yang diselamatkan menerusi Program Pengambilan Kucing Angkat 2026 di Cat Supermarket Bukit Baru, Melaka pada 20 dan 27 Jun ini.

MELAKA – Pencinta haiwan yang berhasrat memelihara kucing kini berpeluang memberi peluang kedua kepada ‘si bulus’ yang diselamatkan menerusi Program Pengambilan Kucing Angkat 2026 di Cat Supermarket Bukit Baru di sini pada 20 dan 27 Jun ini.

Program anjuran Cat Supermarket dengan kerjasama Pertubuhan Pencinta Hidupan Melaka (PPHM) dan Melaka Strays Guardian Alliance (MSGA) itu diadakan selama empat jam bermula pukul 1 hingga 5 petang.

Pasaraya kucing terbesar di Malaysia itu dalam kenyataannya berkata, program mempromosikan konsep “Adopt, Don’t Shop” itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebajikan haiwan.

“Antara 10 hingga 20 ekor kucing yang telah diselamatkan akan dibawa pada setiap sesi untuk dipadankan dengan individu atau keluarga yang berminat menjadi pemilik baharu.

“Sebagai galakan kepada pencinta haiwan untuk tampil mengambil kucing angkat, mereka akan menerima pelbagai insentif termasuk pek hadiah kucing bernilai RM50 tajaan MSGA,” katanya.

Menurutnya, turut diberikan ialah baucar pemandulan bernilai RM50 daripada CS Vet serta satu pek makanan kucing Evocat Functional Cat Food yang ditaja secara percuma.

“Selain itu, pemilik baharu turut diberikan khidmat nasihat penjagaan kucing dan sokongan selepas pengambilan bagi memastikan haiwan berkenaan mendapat penjagaan sewajarnya.

“Bagi anak kucing yang masih belum mencapai usia sesuai untuk dipemandulkan, deposit pemandulan yang boleh dipulangkan akan dikenakan sebagai langkah memastikan prosedur tersebut dilakukan apabila tiba masanya,” tambahnya.

Tambahnya, program berkenaan bukan sahaja membantu haiwan yang diselamatkan mendapatkan keluarga baharu, malah mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.

“Kami berharap lebih ramai masyarakat membuka hati untuk mengambil haiwan angkat dan memberi peluang kedua kepada kucing yang memerlukan kasih sayang serta perlindungan.

“Setiap pengambilan bukan sekadar membawa pulang seekor haiwan peliharaan, tetapi memberi kehidupan baharu kepada kucing yang pernah terbiar atau diselamatkan daripada pelbagai situasi sukar,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh hadir terus ke Cat Supermarket Bukit Baru pada tarikh program atau menghubungi pihak penganjur di talian 06-231 8036 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast