KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa dukacita susulan keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan parti itu, sekali gus menamatkan satu ikatan yang dibina atas semangat perjuangan bersama dalam Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut dibuat sepenuhnya oleh Pas dan bukan atas kehendak Bersatu.
Bagaimanapun, menurut beliau, Bersatu tetap menghormati keputusan berkenaan walaupun ia merupakan satu perkembangan yang mengecewakan kepada parti itu.
“Bersatu melahirkan rasa dukacita kerana kerjasama yang dibina bersama Pas atas semangat dan persefahaman yang luhur telah dihentikan oleh Pas.
“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila mengumumkan keputusan menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas berkenaan yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Muhyiddin bagaimanapun menegaskan bahawa Bersatu akan terus kekal sebagai parti pengasas PN dan tidak akan berganjak daripada perjuangan yang dibawa gabungan tersebut.
Katanya, parti itu akan terus memperkukuhkan kedudukannya dalam PN selain memperkasa agenda prihatin rakyat yang menjadi teras perjuangan gabungan berkenaan sejak penubuhannya.
“Sebagai parti pengasas Perikatan Nasional, Bersatu akan terus kekal dalam Perikatan Nasional dan memperkukuhkan teras perjuangannya.
“Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa Perikatan Nasional sejak penubuhannya serta mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh kepimpinan, ahli parti dan rakan seperjuangan agar tidak terkesan dengan perkembangan tersebut, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan PN sebagai wadah perjuangan politik.
“Ahli parti dan rakan seperjuangan harus fokus kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional. Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini.
“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita Perikatan Nasional akan terus istiqamah bersama-sama kita,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, setiap ujian yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan berharap seluruh anggota parti terus diberikan kekuatan serta petunjuk dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“InsyaAllah, tentunya ada hikmah daripada apa yang berlaku. Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk, taufiq dan hidayah-Nya,” katanya. – MalaysiaGazette















