Ahli Parlimen Klang, V, Ganabatirau

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau mempersoalkan keikhlasan hubungan politik antara Pas dan Bersatu.

Ia susulan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan sekutunya itu sambil menyifatkan perkembangan tersebut sebagai bukti sesetengah kerjasama politik hanya bertahan selagi kepentingan masih sehaluan.

Dalam hantaran di Facebook pagi ini, beliau berkata, rakyat berhak bertanya sama ada perpaduan ummah yang sering dilaungkan selama ini benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar kemudahan politik yang bersifat sementara.

“Pas telah lama memperjuangkan perpaduan atas nama ummah. Namun sejarah menunjukkan perpecahan politik berulang kali berlaku apabila kepentingan mula berubah.

“Daripada satu gabungan ke satu gabungan lain, sekutu menjadi lawan dan lawan menjadi sekutu,” katanya.

Ganabatirau berkata, perkembangan terbaharu membabitkan Pas dan Bersatu membuktikan rakyat perlu melihat lebih jauh daripada slogan serta retorik politik yang sering dimainkan oleh mana-mana pihak.

Katanya, hubungan politik yang benar-benar dibina atas prinsip dan nilai yang dikongsi bersama sepatutnya mampu bertahan walaupun berdepan cabaran serta perbezaan pandangan.

Sebaliknya, beliau berkata, hubungan yang dibentuk atas kepentingan semasa lazimnya sukar bertahan apabila berlakunya perubahan landskap politik.

“Rakyat Malaysia berhak bertanya, adakah perpaduan itu dibina atas prinsip atau hanya kerana keselesaan politik ketika itu. Apabila keadaan berubah, hubungan yang sebelum ini dilihat begitu kukuh akhirnya turut berubah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, apa yang berlaku antara Pas dan Bersatu juga mengingatkan rakyat bahawa politik sentiasa berubah, namun prinsip seharusnya kekal menjadi asas kepada setiap kerjasama yang dibentuk.

“Apabila madu sudah habis, adakah hubungan itu turut berakhir? Itulah persoalan yang wajar ditanya oleh rakyat ketika melihat perkembangan politik yang berlaku hari ini,” ujarnya.

Ganabatirau menegaskan, rakyat mahukan politik yang lebih matang, konsisten dan berasaskan prinsip bukan hubungan yang berubah mengikut keadaan atau kepentingan semasa.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas tamatkan kerjasama politik dengan Bersatu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast