HULU SELANGOR – Seorang lelaki berusia 43 tahun berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah premis kedai di Jalan Adenium 2G/10, Bukit Beruntung di sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.25 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian selepas panggilan diterima daripada orang awam.

Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pukul 8.33 pagi selepas menempuh kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan longgokan kotak-kotak yang ditempatkan di bahagian tangga sebuah premis kedai berkeluasan kira-kira 40 kaki persegi.

“Anggaran kemusnahan adalah sekitar 80 peratus namun kebakaran tidak merebak dan tidak melibatkan struktur bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran melibatkan sebuah premis kedai di Jalan Adenium 2G/10, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi tadi.

Beliau berkata, seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun yang berada di lokasi ketika kejadian berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bertugas.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mukhlis berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.40 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran melibatkan sebuah premis kedai di Jalan Adenium 2G/10, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi tadi.

Seramai sembilan anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Syuhaizaal Ibrahim terlibat dalam operasi tersebut.

Kerja-kerja pemadaman itu melibatkan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan utiliti Hilux. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast