KUALA LUMPUR – Pemandu yang mengamalkan pemanduan berhemah bakal menikmati rebat premium insurans sehingga 10 peratus menerusi Program CERMAT MADANI yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama 10 syarikat insurans.
Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif itu bertujuan mengiktiraf pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang selain menggalakkan budaya pemanduan berhemah melalui pemberian Rebat MADANI bagi pembaharuan insurans kenderaan.
Program berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama bermula 9 Jun hingga 9 September 2026, di mana semua pengguna yang memperbaharui insurans kenderaan melalui aplikasi MyJPJ akan menerima rebat 10 peratus tanpa syarat.
“Bermula 10 September 2026 pula, Rebat MADANI 10 peratus akan diberikan kepada pengguna yang layak berdasarkan semakan status saman aktif dan senarai hitam secara masa nyata menerusi pangkalan data mySIKAP yang dikendalikan JPJ,” katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif Cermat Madani di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 10 syarikat insurans menyertai skim berkenaan dan pengguna boleh memilih mana-mana syarikat yang mengambil bahagian untuk memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ.
Menurut Anthony, program itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos insurans pengguna, malah menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya melalui pendekatan ganjaran kepada pemandu yang mempunyai rekod lebih baik.
Sistem itu turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu proses penilaian risiko berdasarkan rekod pemanduan yang terdapat dalam pangkalan data JPJ.
“Konsepnya mudah, mereka yang mempunyai rekod lebih baik dan risiko lebih rendah berpotensi menikmati manfaat yang lebih besar berbanding pemandu berisiko tinggi.
“Dalam fasa kedua, kerajaan akan meneliti pelaksanaan liberalisasi insurans kenderaan secara berperingkat daripada sistem premium tetap kepada penetapan harga berasaskan risiko (risk-based pricing).
“Di bawah pendekatan itu, premium insurans akan ditentukan berdasarkan profil risiko pemandu termasuk rekod kemalangan, saman trafik, tuntutan insurans serta jenis dan penggunaan kenderaan,” jelasnya.
Anthony berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan sistem yang lebih adil dengan pemandu berisiko rendah menikmati premium lebih kompetitif, manakala pemandu berisiko tinggi menanggung kos yang setimpal dengan tahap risiko masing-masing. – MalaysiaGazette
















