KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan video tular yang memaparkan aktiviti perniagaan di hadapan KLCC merupakan rakaman lama dan tidak menggambarkan keadaan semasa.
Malah rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada sebarang aktiviti perniagaan seperti yang dipaparkan berlaku di kawasan berkenaan sepanjang tahun 2026.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya merujuk kepada video yang sedang tular di media sosial berhubung aktiviti perniagaan di hadapan KLCC.
Menurut DBKL, perbezaan jelas dapat dilihat apabila video tular tersebut hanya memaparkan satu papan tanda di lokasi berkenaan berbanding situasi terkini yang mempunyai dua papan tanda.
“Berdasarkan rekod rakaman CCTV DBKL, tiada sebarang aktiviti perniagaan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut di kawasan berkenaan sepanjang tahun 2026,” katanya.
Dalam pada itu DBKL menegaskan, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan Parlimen Bukit Bintang termasuk sekitar KLCC bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, sebanyak 2,108 tindakan penguatkuasaan telah diambil di kawasan Imbi melibatkan 1,795 notis kompaun, 39 notis penguatkuasaan serta 274 sitaan terhadap pelbagai kesalahan termasuk halangan struktur dan aktiviti penjajaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. – MalaysiaGazette
















