Gambar tular yang memaparkan ejaan nama sekolah dengan perkataan ‘Georgetown’ ditulis sebagai ‘Georgetonw’.

GEORGE TOWN – Kesalahan ejaan pada papan tanda nama sebuah sekolah di Jelutong di sini, yang tular di media sosial telah diperbetulkan oleh pihak berkaitan.

Perkara itu mendapat perhatian selepas gambar papan tanda berkenaan dimuat naik menerusi Facebook yang memaparkan ejaan nama sekolah dengan perkataan ‘Georgetown’ ditulis sebagai ‘Georgetonw’.

Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, kesilapan itu berpunca daripada pemasangan papan tanda oleh pembekal pada petang kelmarin.

Menurutnya, pihak sekolah menyedari kesilapan berkenaan semalam sebelum tindakan segera diambil untuk membetulkannya.

“Pemasangan papan tanda itu dibuat oleh pembekal pada petang kelmarin.

“Apabila kesilapan itu dikesan semalam dan ia sudah dibetulkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, hantaran yang tular di media sosial tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang mempersoalkan bagaimana kesalahan berkenaan boleh terlepas pandang ketika proses pemasangan.

Ada yang berpendapat semakan lebih teliti sepatutnya dilakukan memandangkan nama sekolah tersebut turut merujuk kepada lokasi yang cukup sinonim di Pulau Pinang.

Seorang pengguna Facebook, Ismail Nordin, turut meninggalkan komen yang mempersoalkan bagaimana kesilapan berkenaan tidak disedari lebih awal.

“Perkara macam ini nampak kecil, tapi melibatkan imej sekolah dan dunia pendidikan.

“Sebelum pasang sepatutnya ada semakan akhir. Nama tempat pun boleh tersilap eja,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast