Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali melahirkan rasa kecewa terhadap krisis yang melanda Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, PUTRA sebelum ini menaruh harapan tinggi terhadap PN sebagai wadah yang mampu mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, ketika orang Melayu dan umat Islam berdepan pelbagai cabaran, perpecahan yang berlaku dalam PN adalah sesuatu yang tidak diduga serta menimbulkan kesedihan kepada beliau dan parti itu.

“Kami amat dukacita, sedih dan tidak akan memberi ulasan yang boleh menimbulkan berbagai tafsiran dan jauh sekali menjadi batu api untuk dilihat sebagai hero dan menambahkan lagi luka yang sudah parah.

“Tidak ada makna menjadi hero di atas runtuhan persaudaraan Melayu dan ummah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ibrahim berkata, PUTRA mengambil pendirian untuk tidak memihak kepada mana-mana individu kepimpinan, sebaliknya menghormati Pas dan Bersatu sebagai organisasi serta berpegang kepada prinsip perjuangan berasaskan parti dan bukannya individu.

Beliau turut mengingatkan bahawa budaya politik yang dipenuhi pembodek dan pihak yang mengambil kesempatan ketika krisis hanya akan memburukkan lagi keadaan serta menyemarakkan api perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Menurut beliau, PUTRA yang merupakan parti kecil tidak berhasrat menjadi hakim kepada mana-mana pihak, sebaliknya berharap semua pihak meletakkan kepentingan ummah, Melayu, Islam dan negara mengatasi kepentingan peribadi serta menjauhi sikap mengampu demi mendapatkan kedudukan atau habuan tertentu.

“Saya dan PUTRA berdoa dan amat berharap hubungan yang retak antara Pas dan Bersatu ini tidak dibiarkan menjadi putus selama-lamanya. Air dicincang tidak akan putus.

“Pas dan Bersatu masih mempunyai ruang untuk mencari titik pertautan ukhuwah, jika semua pihak kembali kepada al-Quran dan merendahkan ego, memperbetulkan niat dan mengutamakan masa depan umat,” katanya.

Beliau menegaskan kemenangan politik yang dibina atas dasar perpecahan tidak akan membawa keberkatan, sebaliknya menyeru semua pihak kembali mengukuhkan silaturahim demi membina kekuatan ummah serta mewujudkan kepimpinan yang bersih, berakhlak dan berintegriti untuk seluruh rakyat Malaysia.

Pas secara rasmi menamatkan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus mencetuskan krisis terbesar dalam Perikatan Nasional (PN) sejak gabungan itu ditubuhkan.

Keputusan tersebut dilihat memberi tamparan kepada usaha penyatuan blok pembangkang menjelang PRU-16 selain menimbulkan pelbagai persoalan mengenai hala tuju dan masa depan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast