KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sudah melaksanakan beberapa inisiatif segera bagi menangani isu kekurangan pegawai perubatan di beberapa hospital di negeri ini.
Menurut JKNP, sehinga 1 Jun lalu, jumlah semasa pegawai perubatan di fasiliti kesihatan bawah JKNP adalah seramai 850 orang.
“Hasil semakan mendapati situasi kekurangan pegawai perubatan yang berlaku di beberapa fasiliti adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
“Antaranya pergerakan pegawai untuk mengikuti latihan kepakaran, pertukaran keluar pegawai susulan pelantikan tetap di fasiliti lain serta peletakan jawatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas, JKNP memaklumkan telah melaksanakan beberapa langkah segera termasuk pengoptimuman sumber manusia sedia ada dan mobilisasi pegawai perubatan daripasa fasiliti kesihatan awam dan hospital lain menerusi inisiatif hospital kluster.
Selain itu, katanya, JKNP juga telah membuat penyusunan semula penempatan pegawai perubatan berdasarkan keperluan perkhidmatan dan beban kerja semasa.
“Dalam masa sama, JKNP sentiasa berusaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti melalui pemantauan berterusan serta kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keperluan sumber manusia kesihatan dapa ditangani secara berperingkat dan menyeluruh,” katanya lagi.
JKNP menegaskan akan memastikan kebajikan warga kerja kesihatan terus diberi perhatian di samping menjamin perkhidmatan kesihatan kepada rakyat sentiasa disampaikan secara berkualiti, selamat, cekap dan berkesan. – MalaysiaGazette
















