Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan pada Sesi Pleno Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-114 di Geneva, Switzerland
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan pada Sesi Pleno Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-114 di Geneva, Switzerland

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan kecerdasan buatan (AI) mesti digunakan untuk memperkasa pekerja dan meningkatkan kualiti pekerjaan bukan menggantikan peranan manusia dalam dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pendirian itu selaras dengan komitmen Malaysia untuk memastikan transformasi digital berlaku secara adil, inklusif dan berteraskan maruah insan tanpa meninggalkan mana-mana golongan pekerja.

Menurut beliau, dengan jumlah tenaga buruh melebihi 17 juta orang, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha melengkapkan pekerja dengan kemahiran serta perlindungan yang diperlukan bagi menghadapi ekonomi yang dipacu AI.

“Malaysia percaya bahawa masa depan tidak boleh dimiliki semata-mata oleh algoritma, mesin atau pasaran. Masa depan mesti terus menjadi milik manusia.

“Berpandukan prinsip tersebut, Malaysia percaya bahawa AI mesti berkhidmat untuk manusia, bukannya menggantikan manusia,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sesi Pleno Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-114 di Geneva, Switzerland.

Ramanan berkata, bagi memperkukuh agenda itu, Malaysia telah menginstitusikan latihan AI dan teknologi digital melalui Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), selain memperkenalkan potongan cukai latihan AI dan keselamatan siber menerusi ekosistem MyMahir–Majlis AI Kebangsaan untuk Industri.

Katanya, majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) boleh menikmati tambahan potongan cukai sebanyak 50 peratus bagi perbelanjaan latihan AI dan keselamatan siber yang layak manakala program Jelajah AI MyMahir akan diperluaskan ke seluruh negara bagi meningkatkan literasi AI dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada risiko baharu hasil perkembangan AI, automasi dan pendigitalan.

Ramanan berkata, platform MYFutureJobs yang menggunakan teknologi AI juga telah membantu memadankan 1.49 juta penempatan pekerjaan sejak tahun 2020 dengan menghubungkan 3.3 juta pencari kerja berdaftar kepada 13.4 juta kekosongan jawatan di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau memaklumkan hampir 10 juta pekerja sektor formal kini dilindungi di bawah skim perlindungan kecederaan 24 jam PERKESO bermula 1 Jun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kemajuan teknologi seiring dengan perlindungan hak, kebajikan dan maruah pekerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast