KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 29 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kilang pembuatan lantai formica, semalam.
Operasi yang dikenali sebagai Ops Mahir itu dilaksanakan pada pukul 10 pagi hasil maklumat dan risikan Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah membabitkan kekuatan 16 pegawai.
Menurut kenyataan JIM Kedah, seramai 199 individu telah diperiksa dalam operasi berkenaan melibatkan 20 warga tempatan; Bangladesh (127); Nepal (25); China (22) dan lima warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 29 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 24 lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya,siasatan awal mendapati seramai 26 individu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini.
Dua lagi, tambahnya, ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala seorang lagi ditahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dalam operasi itu juga, JIM Kedah mengeluarkan dua Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua tahanan berusia antara 27 hingga 53 tahun telah dihantar ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan dan dokumentasi lanjut,” katanya.
JIM menegaskan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negara ini serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk majikan. – Malaysia Gazette.
















