KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok, manakala sebuah motosikal yang dilaporkan hilang sejak tahun 2020 ditemukan dalam dua operasi berasingan oleh Strike Team Balai Polis Tawau ketika rondaan cegah jenayah, 3 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 1.30 pagi di kawasan Pasar Taman Semarak, Tawau apabila anggota Strike Team yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan seorang lelaki berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan, pihak polis menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.13 gram yang disimpan di dalam sebuah kotak rokok,” katanya menerusi Facebook Polis Daerah Tawau hari ini.
Jelasnya, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beberapa jam kemudian, kira-kira jam 5 pagi, pasukan yang sama meneruskan rondaan cegah jenayah sebelum menemukan sebuah motosikal dalam keadaan ditinggalkan di bawah sebuah bangunan terbengkalai di Jalan Kee Abdullah.
Katanya, pemeriksaan dan semakan melalui sistem “Mobile Card Acceptence Device” atau MCAD mendapati motosikal jenis Honda itu telah dilaporkan hilang bersabit satu laporan polis yang dibuat pada 22 Mei 2020.
Menurut ACP Jasmin, motosikal berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Jelasnya, polis akan terus mempergiat rondaan cegah jenayah dan operasi pemantauan di kawasan tumpuan bagi membanteras kegiatan jenayah serta meningkatkan keselamatan awam.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah, kecurian kenderaan atau sebarang aktiviti jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di daerah ini. – MalaysiaGazette
















