KUALA LUMPUR – Presiden Siswa Bersatu Malaysia bersama tiga lagi pemimpin tertinggi sayap mahasiswa itu mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam Siswa Bersatu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta, sekaligus menamatkan keahlian mereka dalam parti.
Mereka turut memaklumkan bahawa bekas pemimpin Siswa Bersatu, Lailatul Zayyani Awaludin yang telah meletakkan jawatan lebih awal, turut direkodkan dalam kenyataan bersama berkenaan.
Dalam kenyataan media hari ini, kumpulan pemimpin berkenaan menjelaskan, keputusan bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya hasil pemerhatian dan analisis menyeluruh terhadap perkembangan semasa dalam parti serta gabungan politik yang dianggotai.
Menurut mereka, prinsip penyatuan ummah yang selama ini menjadi pegangan utama dilihat semakin berbeza dengan hala tuju semasa parti sekali gus mendorong mereka membuat keputusan untuk berundur dan meneruskan perjuangan menerusi platform yang dianggap lebih selari dengan prinsip tersebut.
“Kami tetap berpegang kepada keyakinan bahawa penyatuan ummah merupakan asas penting dalam memperkukuh kestabilan politik dan memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Namun kami melihat terdapat perbezaan yang semakin ketara antara pendirian tersebut dengan hala tuju semasa parti,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menyatakan kesediaan untuk bersama Gerakan RESET yang disifatkan bakal membawa nafas baharu kepada negara.
Langkah tersebut juga dikatakan selari dengan Gagasan Konsensus Nasional yang dijangka diperkenalkan kepada rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
Walaupun mengambil keputusan meninggalkan Bersatu, mereka merakamkan penghargaan kepada parti atas peluang dan pengalaman yang diberikan sepanjang penglibatan mereka serta mendoakan yang terbaik buat organisasi berkenaan.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Siswa Bersatu Malaysia, Ameer Hazeem Mohd Zaky; Naib Presiden Siswa Bersatu Malaysia, Muhammad Hakim Mohd Helmy; Setiausaha Agung Siswa Bersatu Malaysia, Wan Amir Hakim Wan Mohd Asdi; dan Bendahari Kehormat Siswa Bersatu Malaysia, Sarah Hannani Ahmad Fikri. – MalaysiaGazette
















