KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyenaraikan lapan kategori kesalahan yang didakwa dilakukan Pas terhadap parti itu sepanjang tempoh 2024 hingga kini sehingga mencetuskan keretakan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, kronologi pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh tersebut menunjukkan terdapat tindakan tertentu yang boleh ditafsirkan sebagai melanggar semangat kerjasama dalam gabungan berkenaan.
Tun Faisal mendakwa kategori pertama ialah campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu, termasuk beberapa kenyataan pemimpin Pas berhubung calon Perdana Menteri dan kepimpinan parti itu.
“Menentukan atau mempengaruhi kepimpinan parti lain, mewujudkan persepsi Pas memilih pihak tertentu dalam konflik dalaman Bersatu serta menghakis prinsip autonomi parti komponen,” katanya.
Beliau berkata, kategori kedua membabitkan cubaan mengubah struktur kuasa PN tanpa konsensus penuh, termasuk beberapa cadangan dan usaha yang didakwa membelakangi proses kolektif Majlis Tertinggi PN.
Menurutnya, tindakan tersebut boleh ditafsirkan sebagai “mengemukakan perubahan besar struktur gabungan tanpa persetujuan menyeluruh, membelakangi proses kolektif Majlis Tertinggi PN dan menimbulkan persepsi cubaan memindahkan kuasa daripada Pengerusi kepada pihak lain”.
Tun Faisal turut mendakwa terdapat rundingan politik luar saluran rasmi PN yang melibatkan beberapa pertemuan dan rundingan tanpa mandat rasmi gabungan.
“Mengadakan rundingan strategik tanpa mandat rasmi gabungan, tidak memaklumkan rakan komponen serta mewujudkan syak wasangka mengenai agenda berasingan,” katanya.
Beliau berkata, Pas juga didakwa melancarkan serangan terbuka terhadap Bersatu dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain mencabar pembahagian kerusi yang dipersetujui sehingga boleh “mencetuskan perebutan kerusi sebelum rundingan rasmi dan menggugat disiplin pilihan raya gabungan”.
Katanya, Pas turut didakwa menggalakkan sentimen pemutusan hubungan dengan Bersatu, gagal melaksanakan beberapa keputusan rasmi PN serta membina naratif bahawa parti itu lebih layak memimpin gabungan berkenaan.
“Dari sudut pengurusan gabungan politik, tiga kategori yang paling serius ialah campur tangan dalam kepimpinan parti rakan, kegagalan mematuhi keputusan bersama, dan rundingan politik tanpa mandat, kerana ketiga-tiganya menyentuh soal kepercayaan (trust), disiplin organisasi, dan kesetiaan kepada keputusan kolektif gabungan,” katanya.
Tun Faisal turut menyenaraikan kritikan terbuka kepimpinan Pas terhadap Muhyiddin antaranya kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menegaskan Pas wajar mengambil alih jawatan pengerusi PN dan berhujah krisis politik Perlis membuktikan Bersatu tidak layak memimpin gabungan itu.
“Banyak contoh disebut terutama hujung 2025 hingga pertengahan 2026 antaranya kenyataan Afnan Hamimi (Ketua Pemuda Pas, kenyataan Sanusi (Menteri Besar Kedah), kenyataan Ahmad Fadhli (Ketua Penerangan Pas), kenyataan Iskandar Samad (Bendahari Pas), sindiran pemimpin Pas di media sosial termasuk pantun Dr Samsuri (Pengerusi PN), dan tuduhan pengkhianatan berkaitan Perlis,” kata Tun Faisal lagi.
Kenyataan Tun Faisal dipercayai merujuk kepada pantun Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mencetuskan perhatian apabila dilihat mempunyai nada sinis terhadap situasi politik semasa Bersatu.
“Anak Cina pergi ke pekan,
Singgah sebentar membeli lokan,
Kalau pemimpin sibuk berebut jawatan,
Rakyat akhirnya jadi korban,” tulis Ahmad Samsuri dalam satu hantaran di Facebook beliau sebelum ini. – MalaysiaGazette
















