Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memandang serius siri gangguan perkhidmatan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlaku kebelakangan ini kerana menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta imej negara di mata pelancong dan pelabur asing.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya kini dalam dalam fasa akhir memuktamadkan penyata berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam dan mengadakan lawatan ke KLIA yang merupakan sebahagian daripada proses bagi melengkapkan laporan prosiding yang sedang dijalankan PAC berkaitan pengurusan lapangan terbang awam.

Menurut beliau, lawatan itu membantu pihaknya dalam menyediakan penyata yang lebih telus, komprehensif dan menyeluruh untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Sidang Mesyuarat Kedua tahun ini.

“PAC menegaskan bahawa setiap pelan transformasi yang dirancang oleh MAHB mestilah diterjemahkan secara tuntas kepada peningkatan mutu perkhidmatan rantaian di lapangan terbang.

“Oleh yang demikian, jawatankuasa ini turut memberi fokus terhadap aspek pengurusan aliran penumpang.

“PAC memantau secara langsung urusan pengoperasian harian dan fasiliti baharu dan yang sudah dinaik taraf demi memastikan usaha meremajakan KLIA benar-benar mampu meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan secara optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Terminal 1 KLIA di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersama Ahli Parlimen Seputeh merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Teresa Kok dan Ahli Parlimen Sekijang merangkap ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa serta Ahli Parlimen Kapar merangkap ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr. Halimah Ali hadir pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2026.

Mas Ermieyati menambah, lawatan kerja itu juga bertujuan meneliti secara dekat prestasi operasi semasa di KLIA di samping menilai secara kritikal perkembangan pelan transformasi serta pelaksanaan projek pembangunan aset berkeutamaan tinggi.

Khususnya kata beliau, berkaitan dengan aerotrain dan sistem pengendalian bagasi (BHS).

“Sebenarnya kita berhajat hendak buat lawatan secara mengejut tetapi kita namakan separuh mengejut sebab kita terpaksa berhubung dengan pihak MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) dari segi faktor keselamatan dan sebagainya dan kita ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak semua yang terlibat.

“Dan kita lihat sebelum tinjauan fizikal bermula, PAC telah pun diberikan taklimat terperinci oleh pihak pengurusan MAHB mengenai pelan hala tuju dan status serta kemajuan kerja berkenaan dengan projek-projek yang telah pun berimpak tinggi yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast