KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki dan wanita selepas dipercayai terlibat samun bersenjatakan sebilah pisau di Terminal Bas Tun Sri Lanang di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek lelaki berusia 20 tahun ditahan di Dataran Larkin, Johor Bahrum pukul 2.30 petang semalam.
“Suspek wanita yang juga berusia 20 tahun ditahan sekitar kawasan Terminal Bas Tun Sri Lanang di sini pukul 11 pagi, kelmarin.
“Turut dirampas, sebilah pisau disyaki digunakan sebagai senjata semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun mereka memiliki rekod jenayah lampau.
Menurut Othman, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk permohonan reman.

“Suspek wanita sudah dibenarkan reman selama lima hari manakala suspek lelaki akan ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Beliau memaklumkan, terdahulu Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima panggilan MERS 999 berkaitan kejadian samun tersebut.
Katanya, kedua-dua suspek didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu Grab berusia 30 tahun.
“Bagaimanapun, mangsa berkenaan tidak mengalami sebarang kerugian,” ujarnya.
Bertindak atas maklumat katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan mangsa pukul 11 pagi kelmarin.
Sejak semalam tular foto mangsa yang mendakwa dan menunjukkan bahagian lehernya dikelar suspek dalam kejadian tersebut.
Dua foto semasa dikelar dan selepas dijahit dimuat naik dalam sebuah Facebook.- MalaysiaGazette
















