GEORGE TOWN – Sebuah syarikat pengangkutan dan penghantaran barang serta dua pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen yang dikehendaki pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ami Logistics (Penang) Sdn Bhd bersama dua pengarahnya, Shaik Zamry Shaik Kamal Farid, 61, dan Abdul Mutalib Ismail, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, syarikat dan kedua-dua individu terbabit didakwa gagal mengemukakan dokumen yang diminta pegawai kastam seperti dikehendaki mengikut Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 57(4)(a) akta sama kerana melanggar Seksyen 57(2), yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 79 akta berkenaan iaitu denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Audit Import dan SST, Bahagian Pematuhan, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Jalan Perpustakaan, Lebuh Tenggiri 2, Seberang Perai Tengah pada 17 Disember 2024.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, D. Karthy Gasedev manakala kesemua orang kena saman (OKS) tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















