BUKIT MERTAJAM – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu serta merampas serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM1.2 juta.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa dan Rabu itu turut membawa kepada rampasan 302 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah berkenaan seberat hampir 8.1 kilogram (kg).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 33 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut menemukan sejumlah serbuk disyaki dadah MDMA yang disimpan dalam 302 paket plastik.
“Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai rakan sejenayah dan berperanan sebagai ‘runner’ di kawasan sama.
“Jumlah dadah yang dirampas itu boleh merosakkan seramai 26,956 orang yang menggunakannya.
“Polis turut menyita sebuah kereta Honda City dan sebuah kereta Kia K2 selain merampas 30 barang kemas bernilai RM120,733.20, beg tangan jenama LV dan Gucci serta wang tunai RM2,050,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati sindiket terbabit disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak April tahun ini.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis ketamin.
“Dua daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kesemua suspek direman selama seminggu bermula semalam hingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















